GEORGE TOWN: Pulau Pinang menarik pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM18.2 bilion dalam sektor pembuatan dari Amerika Syarikat (AS) antara 2020 dan separuh pertama 2026, menyumbang 38 peratus daripada jumlah pelaburan AS dalam sektor pembuatan Malaysia.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata keyakinan syarikat AS terhadap Pulau Pinang terus teguh, dengan lebih 100 syarikat AS kini beroperasi di negeri itu.

"Hubungan perdagangan Pulau Pinang dan AS yang kukuh turut diperlihatkan menerusi eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke negara itu, dengan 87 peratus bernilai RM177.7 bilion dari Pulau Pinang.

"Bagi setiap RM10 produk E&E yang dieksport ke AS, hampir RM9 dari Pulau Pinang; yang membuktikan ekosistem perindustrian kita bukan saja berdaya tahan malah kekal menjadi pilihan utama pelabur antarabangsa," katanya ketika berucap pada Dialog AMCHAM Pulau Pinang 2026 anjuran Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) Pulau Pinang, di sini, hari ini.