Kuala Lumpur: Sokongan bersepadu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) penting dalam memperkukuh persiapan kem skuasy negara menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).

Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Gerard Monteiro, berkata sokongan menerusi Program Road to Gold (RTG) memberi ruang untuk perancangan persediaan atlet dilakukan secara lebih tersusun menjelang temasya sukan berprestij dunia itu.

Gerard berkata kejayaan tidak boleh dibina oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara SRAM, KBS, MSN, ISN, jurulatih dan atlet.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan KBS, MSN dan ISN dalam persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang disifatkan sebagai bukti bahawa pembangunan atlet merupakan usaha bersama antara persatuan dan agensi sukan negara.