NAGOYA: Pasukan skuasy lelaki negara menyumbang pingat emas kesembilan kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Pakistan 2-0 pada aksi final berpasukan di Arena Nagoya Kinjo Futo, sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia kembali merangkul emas berpasukan lelaki selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Ia juga menyaksikan skuad skuasy negara meraih emas berganda hari ini selepas pasukan wanita turut mempertahankan gelaran dengan menewaskan Hong Kong 2-1, sekali gus menjadikan skuasy menyumbang empat pingat emas kepada kontinjen negara pada temasya kali ini.

Sebelum ini, Ng Eain Yow dan S Sivasangari turut menyumbang emas selepas menjuarai acara perseorangan lelaki dan wanita.