PETALING JAYA – Penganjuran semula Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang buat kali pertama sejak 2017 menjadi ruang bagi Malaysia dan Bahrain memperkukuh hubungan dua hala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menzahirkan penghargaan atas dukungan Bahrain dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang memungkinkan penganjuran semula F1 di Sepang menerusi Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026.

Katanya, pertemuan bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa turut dimanfaatkan untuk membincangkan ikhtiar memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

“Termasuk mempercepat rundingan pegawai kanan bagi menggerakkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi serta memacu agenda dua hala secara strategik,” katanya dalam satu hantaran hari ini.