BACHOK - Sebanyak 568 kes rasuah membabitkan penjawat awam pada 2024 menjadi rekod tertinggi dan mencetuskan kebimbangan terhadap tahap integriti dalam jentera pentadbiran awam negara.Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, jumlah itu menunjukkan krisis integriti menjadi antara kekangan struktural yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh perkhidmatan awam."Statistik tangkapan kes rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan penjawat awam menunjukkan trajektori peningkatan yang membimbangkan, dengan kes tertinggi direkodkan adalah pada 2024 iaitu 568 kes."Hal ini berpunca daripada penguatkuasaan akta yang tidak konsisten, kelemahan prosedur perolehan dan masih wujudnya mentaliti ‘pintu belakang’ serta amalan ‘Little Napoleon’ demi mengaut keuntungan peribadi," katanya pada program Syarahan Perdana Profesor Adjung di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan di sini pada Khamis.Wan Ahmad Dahlan berkata, isu integriti adalah antara tiga kekangan utama yang dikenal pasti membelenggu jentera pentadbiran awam Malaysia ketika ini, selain penentangan terhadap perubahan dan mentaliti "silo" serta kelemahan sistemik.Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, usaha memperkemas tatakelola dalam organisasi perlu dilaksanakan secara berterusan bagi mengurangkan isu rasuah."Dengan usaha berterusan yang dilaksanakan, saya penuh yakin isu terkait rasuah ini dapat dikurangkan dari semasa ke semasa dengan satu tekad yang jelas bahawa kita menolak perkara ini," katanya.- Bernama