BACHOK: Penguatkuasaan akta tidak konsisten dan kelemahan prosedur perolehan antara faktor sebanyak 568 kes tangkapan rasuah membabitkan pegawai awam direkodkan pada 2024.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata kes itu yang tertinggi dicatatkan sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap integriti dalam pentadbiran awam negara.

Pada masa sama, katanya, masih wujud mentaliti "pintu belakang" serta amalan "Little Napoleon" demi mengaut keuntungan peribadi.

"Statistik tangkapan kes rasuah SPRM membabitkan pegawai awam menunjukkan trajektori peningkatan yang membimbangkan, dengan kes tertinggi direkodkan pada tahun 2024 iaitu sebanyak 568 kes," katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2026 bertemakan "Pembelajaran Sepanjang Hayat: Memperkasa Perkhidmatan Awam Masa Hadapan" di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, hari ini.