KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai bank didenda RM36,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah lebih RM80,000, sejak lima tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas Noor Iskandar Aziz, 45, mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa gagal melaporkan suapan berjumlah RM80,123.60 yang diterima melalui enam transaksi secara deposit tunai ke dalam akaun bank miliknya dan isteri daripada dua individu serta syarikat CSA Infinite Consultancy.

Suapan itu diberikan bagi membantu permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan Syarikat CSA Academy Sdn. Bhd. secara serentak di beberapa institusi kewangan lain.