KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai bank didenda RM36,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan gagal melapor pemberian rasuah lebih RM80,000 berhubung pembiayaan peribadi, antara 2021 hingga 2023 lalu.
Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Noor Iskandar Aziz, 45, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan semua pertuduhan, dia didakwa menerima suapan masing-masing RM3,400, RM14,540, RM11,690, RM18,425, RM1,375 dan RM30,693.60 secara deposit tunai ke dalam akaun bank milik tertuduh dan akaun bank milik isterinya daripada dua individu serta syarikat CSA Infinite Consultancy.









