KUANTAN: Demi upah lumayan, dua beradik ipar sanggup bersekongkol menjadi penghantar dadah atau transporter dari utara semenanjung ke negeri ini, namun kegiatan mereka terbongkar selepas dicekup di hadapan sebuah inap desa di Maran, dekat sini, Isnin lalu.
Kedua-dua suspek berusia 30 tahun dan 44 tahun itu ditahan ketika dipercayai memindahkan empat beg berisi dadah dari but sebuah kenderaan di lokasi terbabit, kira-kira pukul 1.20 pagi.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, hasil pemeriksaan terhadap empat beg berkenaan menemukan 56 bungkusan ganja yang dianggarkan seberat 58 kilogram (kg) ganja bernilai RM174,000.
“Sebelum ini kegiatan mereka tertumpu di Lembah Klang dan ini kali pertama penghantaran di buat ke pantai timur khususnya negeri ini. Ketika disoal siasat, kedua-dua suspek mengaku bertindak sebagai penghantar atau transporter dengan upah sebanyak RM10,000.








