KUALA LUMPUR: Usahawan kecil seperti ibu yang bekerja dari rumah, golongan muda, komuniti Orang Asli serta individu kreatif kini boleh memasarkan produk mereka melalui platform pasaran digital baharu iaitu DuitJe.
Ketua Perhubungan Awam dan Pemasaran, Amirah Abu Bakar berkata, DuitJe memberi tumpuan kepada produk kraftangan, hasil buatan tangan, produk kreatif dan barangan buatan sendiri, di samping menyediakan ruang kepada individu yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk menjadikan kemahiran mereka sebagai satu bentuk perniagaan.
Antara perkhidmatan yang boleh diketengahkan melalui DuitJe termasuk perkhidmatan badut, perkhidmatan dalam talian, perkhidmatan acara, pengurusan acara serta pelbagai perkhidmatan kreatif dan kemahiran yang ditawarkan oleh individu dan perniagaan kecil.








