​BACHOK – Mentaliti ‘pintu belakang’ dan amalan ‘Little Napoleon’ demi mengaut keuntungan peribadi merupakan antara penyumbang kepada peningkatan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, peningkatan itu mencetus kebimbangan terutamanya aspek integriti dan tadbir urus dalam sektor awam yang memerlukan perhatian.

Menurutnya, faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada keadaan itu antaranya penguatkuasaan undang-undang yang tidak konsisten selain kelemahan dalam prosedur perolehan.

“Statistik tangkapan kes rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membabitkan pegawai awam menunjukkan peningkatan dengan kes tertinggi direkodkan pada 2024 iaitu sebanyak 568 kes,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2026 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini hari ini.