PONTIAN – Keadaan jalan yang diselubungi kabus dan jerebu sehingga menghadkan jarak penglihatan dipercayai antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan maut sehingga meragut nyawa tiga beradik di Jalan Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, tiga beradik berusia lapan hingga 18 tahun terbabit dalam kemalangan membabitkan motosikal yang dinaiki mereka dengan sebuah lori muatan kelapa sawit.

Dua mangsa iaitu Puteri Naufa Raisha Norlizan, 8, dan Nor Danial Fikri Norlizan, 11, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Abang mereka, Nor Danial Aiman Norlizan, 18, yang menunggang motosikal berkenaan pula meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan.