KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan usaha melahirkan 30,000 graduan mahir dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi tempoh 2025-2030 untuk mendepani cabaran automasi dan keperluan pasaran pekerjaan pada masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sasaran itu dijangka dicapai menerusi 30 program khusus pada peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang ditawarkan di 11 universiti awam ketika ini.

Beliau berkata 455 program pengajian pelbagai peringkat telah disemak semula setakat 30 Sept lepas bagi memastikannya kekal relevan dengan kemajuan teknologi.

“Bagi program khusus AI pula, pembangunan dan akreditasi diperkukuh melalui Standard Program Kecerdasan Buatan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya ia dibangunkan secara sistematik dan memenuhi kualiti ditetapkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.