KUALA LUMPUR: Isu graduan bekerja di luar bidang dan kelayakan akademik menjadi antara fokus utama kerajaan dalam perancangan strategi Dasar Pendidikan Tinggi 2026-2035 bagi memastikan peluang kerjaya selari dengan ijazah dimiliki.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata menerusi dasar berkenaan, kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada graduan universiti bagi menangani isu guna tenaga tidak penuh (underemployment).
Langkah itu, katanya, bagi memastikan graduan yang mempunyai ijazah mendapat peluang pekerjaan yang selari dengan bidang pengajian mereka.
"Sebab itulah langkah-langkah yang berterusan perlu dilakukan kerana setiap tahun ribuan pelajar keluar (tamat belajar) dan mereka akan memilih bidang masing-masing dan di situ terdapat keperluan dalam pasaran yang perlu kita tetapkan," katanya.








