KUALA LUMPUR – Padah mengekori konvoi polis yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri, seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Lelaki berusia 27 tahun itu mengaku salah selepas didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 21(1) Akta Polis 1967 kerana gagal mematuhi arahan anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lapan bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Kes tersebut susulan kejadian tular membabitkan sebuah Honda CR-V yang mengekori konvoi polis ketika mengiringi Timbalan Perdana Menteri (I) di Kilometer 48.5 Lebuhraya Shah Alam (KESAS), kira-kira pukul 9.32 pagi, semalam.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tindakan terhadap ejen hartanah itu diambil susulan kejadian berkenaan.









