KUALA LUMPUR: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditahan kerana mengekori konvoi polis pengiring Timbalan Perdana Menteri di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) menghala Klang, pagi semalam, dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata lelaki berusia 27 tahun yang memandu kenderaan SUV jenis Honda CR-V itu dibebaskan malam tadi.
"Selepas siasatan awal dibuat, polis mengarahkan pemandu itu datang ke Balai Polis Trafik Tun H S Lee sebelum kita menahannya untuk siasatan lanjut.
"Selepas menjalankan siasatan, pemandu berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis dan kita sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967 sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi mendapatkan arahan dan tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.









