TEMERLOH: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mencadangkan Belanjawan 2027 menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus projek kecil kerajaan dilaksanakan melalui kaedah cabutan undi yang telus, terbuka dan berasaskan syarat kelayakan jelas.

Yang Dipertua PKMM Pahang, Abd. Gapar Lambak berkata, kaedah tersebut wajar diperluaskan secara bersesuaian kepada kontraktor G1, G2, G3, G4 dan G5, mengikut nilai, skop, lokasi dan kapasiti kontraktor.

“PKMM melihat kaedah tersebut sebagai salah satu mekanisme untuk memastikan peluang projek dapat diagihkan dengan lebih meluas kepada semua kontraktor yang layak.

“Dalam masa yang sama, ia dapat mengurangkan persepsi bahawa peluang kerja kerajaan hanya berlegar dalam kelompok kontraktor tertentu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.