Kuala Lumpur: Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) meminta kerajaan supaya menyediakan pelepasan cukai bagi perlindungan kritikal seperti insurans gangguan perniagaan bagi meningkatkan tahap kemampuan dan akses kepada perlindungan insurans.
PIAM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerajaan juga wajar menyemak semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perlindungan insurans penting bagi membantu mengurangkan jurang perlindungan di negara ini.
Persatuan itu turut memohon insentif cukai bersasar dan geran teknologi bagi mempercepatkan pendigitalan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam kalangan pemain industri yang lebih kecil.
Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon berkata langkah fiskal bersasar boleh membantu memastikan perlindungan insurans penting kekal mampu dimiliki oleh isi rumah dan perniagaan.






