London: Luca Marini menyambut positif format baharu kelayakan Sprint MotoGP yang akan diperkenalkan pada musim 2027, walaupun mengakui perubahan itu bakal menjadikan hujung minggu perlumbaan lebih mencabar buat pelumba.

Format baharu yang disahkan menjelang Grand Prix Indonesia itu menyaksikan sesi kelayakan Sprint selama 15 minit diperkenalkan pada penghujung Jumaat.

Ia akan menyusuli FP2 yang dipendekkan kepada 30 minit, manakala FP3 pada Sabtu turut dikurangkan daripada 30 kepada 20 minit.

Dalam format baharu itu, semua pelumba akan beraksi pada Q1 kelayakan Grand Prix, berbanding sistem ketika ini yang menyaksikan 10 pelumba terbaik berdasarkan sesi Jumaat terus mara ke Q2.

Sebanyak 12 pelumba terpantas kemudian akan mara ke perebutan petak utama.