KUALA LUMPUR: PROTON membuka tempahan bagi Proton X50 Sport Edition (SE) serba baharu di seluruh negara, bersempena ulang tahun keenam model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu sejak diperkenalkan pada Oktober 2020.

Model edisi khas yang dibangunkan berasaskan varian X50 Flagship itu menawarkan 15 penambahbaikan eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman, dengan penampilan lebih sporty.

Proton X50 mencatatkan jualan terkumpul melebihi 177,000 unit di pasaran domestik dan eksport sejak diperkenalkan pada 27 Oktober 2020, sekali gus menjadikannya sebagai SUV paling berjaya oleh PROTON, selain mengekalkan kedudukan sebagai SUV segmen-B terlaris di Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Rashid Musa, berkata pengenalan X50 SE mencerminkan usaha syarikat memenuhi perubahan jangkaan pelanggan menerusi penambahbaikan reka bentuk, prestasi, teknologi dan keselamatan.