KUALA LUMPUR: Kejayaan mengekalkan rekod bersih tanpa kalah pada kempen Piala ASEAN FIFA 2026 menyaksikan pengendali interim, Tan Cheng Hoe kekal sebagai watak penting dan aset berharga dalam ekosistem skuad kebangsaan meskipun isu menjulang kejuaraan terus menjadi fokus utama.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menegaskan pencapaian Cheng Hoe mengemudi Harimau Malaya tanpa tewas dalam empat aksi terakhir termasuklah menamatkan kemarau kemenangan 12 tahun ke atas Vietnam membuktikan sentuhan pengendali tempatan itu masih relevan.

Malah, Zulakbal mengakui Cheng Hoe memiliki kualiti dan kredibiliti sebagai pengendali Harimau Malaya kerana pernah berada pada kedudukan itu namun skuad negara memerlukan lebih daripada sekadar Cheng Hoe untuk mara ke peringkat lebih tinggi.