JAKARTA: Terdapat kira-kira 59,275 titik panas  di 17 daerah dan bandar di Sumatera Selatan dari 1 September hingga semalam menyebabkan wilayah itu menjadi ‘lubuk jerebu’ .

Angka itu dikeluarkan oleh Data Sistem Pemantauan Kebakaran Hutan dan Tanah milik Kementerian Perhutanan.

Ketua Bahagian Advokasi Wahana Lingkungan Hidup Indonesia, Sumatera Selatan (WALHI), Galang Suganda berkata, kebakaran hutan dan tanah bukan bencana yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak dapat diramalkan. 

Katanya, kebakaran yang sejak kebelakangan ini menjadi ancaman di negara itu adalah risiko ekologi yang boleh dikenal pasti dan dicegah.

“Risiko itu berkait rapat dengan perubahan landskap, penguasaan ruang, aktiviti berasaskan permit, kerosakan ekosistem gambut dan kelemahan usaha pencegahan serta pengawasan di kawasan berisiko kebakaran,” katanya.