SHAH ALAM: Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk menyebabkan kematian penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) warganegara Maldives, Ahad lalu.
Tertuduh, Muhamad Syafiq Ibrahim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Syafiq didakwa memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa di bawah pengaruh dadah jenis syabu sehingga menyebabkan kematian penumpangnya, Aamina Imeely Nazim, 22.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000, sekiranya disabitkan kesalahan.









