am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pemandu e-hailing yang terbabit kemalangan di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Ahad lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk menyebabkan kematian penuntut warganegara Maldives.
Tertuduh Muhamad Syafiq Ibrahim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa di bawah pengaruh dadah jenis syabu sehingga menyebabkan kematian penumpangnya, Aamina Imeely Nazim, 22.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika disabitkan.









