mohdsyazwan@hmetro.com.my

Bandung: Ada malam yang sepatutnya diraikan dengan penuh bangga, namun kemenangan terbesar Harimau Malaya ke atas Singapura sejak 1978 akhirnya hadir bersama rasa kecewa apabila Malaysia tetap gagal menempah tiket ke final Piala ASEAN FIFA 2026.

Jurulatih sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui bangga dengan persembahan anak buahnya selepas mereka membelasah Singapura 6-0 pada aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A di Stadium Si Jalak Harupat, namun mengakui keputusan itu tetap meninggalkan rasa terkilan apabila Malaysia tidak layak ke perlawanan akhir.

Cheng Hoe berkata pemainnya memberikan komitmen tinggi sepanjang perlawanan dengan pengawalan bola dan penyudahan yang baik, namun mengakui dalam bola sepak pelbagai perkara boleh berlaku.