sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas membantu Harimau Malaya menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 tanpa kalah, sebahagian besar pemain yang menjadi nadi pasukan dalam kejohanan itu dijangka terus dikekalkan bagi menghadapi cabaran lebih getir menentang China pada November ini.
Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, keputusan untuk mengekalkan sebahagian besar pemain dibuat berdasarkan kemampuan, keserasian serta tahap konsistensi yang dipamerkan sepanjang kempen berkenaan.
"Ya, sebenarnya sebahagian besar pemain akan dikekalkan kerana kita tahu kemampuan mereka bermain sebagai satu pasukan dan dari segi konsistensi mereka juga begitu baik.
"Sudah tentu sebelum kempen Piala ASEAN kita memanggil pemain gantian dan kita masih lagi memantau mana-mana pemain yang boleh memberi impak serta keserasian kepada pasukan," katanya sebaik tiba bersama pasukan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.









