KUALA LUMPUR: Pihak Ketua Pendaftar Mahkamah perlu memberikan maklum balas berkenaan pendedahan Jawatankuasa Ki­ra-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini berkaitan isu wang e-Jamin berjumlah RM103.8 juta yang dilaburkan atas nama syarikat pengendali sistem berkenaan yang sekali gus melanggar peraturan kewangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana perkara itu adalah berada di bawah bidang kuasa institusi kehakiman.   

“E-Jamin itu perlu tanya Ketua Pendaftar sebab di bawah (bidang kuasa) mahkamah. 

“Saya lihat apa yang dibawa oleh PAC itu satu teguran yang Ketua Pendaftar perlu respons dan kita telah memaklumkan kepada Ketua Pendaftar. Mungkin mereka akan buat kenyataan,” katanya semasa sidang akhbar di Parlimen hari ini.