PETALING JAYA: : Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dihentikan sementara antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi bermula esok hingga 17 Oktober bagi membolehkan kerja kemas kini perisian berjadual dilaksanakan.
Malaysia Airports dalam kenyataan berkata, kerja berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh operasi sistem dan menyokong prestasi jangka panjang Aerotrain selepas berjaya melengkapkan 20,000 jam operasi berterusan.
“Sepanjang tempoh berkenaan, perkhidmatan Aerotrain akan dihentikan pada waktu kejuruteraan standard luar waktu puncak bagi meminimumkan gangguan kepada penumpang.
“Sebagai alternatif, perkhidmatan bas sepenuhnya akan disediakan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang antara Terminal Utama dan Bangunan Satelit sepanjang tempoh kerja berkenaan,” katanya.









