HULU SELANGOR: Sebanyak 18 syarikat asing yang masih melaksanakan kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset pertahanan diberi kata dua supaya bekerjasama dengan syarikat tempatan atau membangunkan syarikat tempatan jika mahu terus mendapat kontrak daripada Kementerian Pertahanan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan tidak lagi mahu terus bergantung kepada syarikat asing bagi melaksanakan kerja-kerja MRO yang mempunyai keupayaan untuk dilakukan oleh syarikat tempatan.

Beliau berkata, syarikat asing terbabit perlu mencari jalan sama ada menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan atau membangunkan syarikat tempatan bagi memastikan keupayaan industri pertahanan negara terus diperkukuh.