KUALA LUMPUR: Selepas terperosok ke tangga ke-138 dunia pada 1 April, skuad Harimau Malaya kembali 'memanjat' ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila berjaya mencatat kenaikan lima anak tangga secara keseluruhan sehingga kemas kini terbaharu, semalam.
Skuad negara berjaya naik dua anak tangga pada kemas kini 11 Jun untuk berada pada kedudukan ke-136 sebelum memperbaiki tiga lagi anak tangga untuk mereka kini menghuni tangga ke-133 dunia.
Peningkatan demi peningkatan ini jelas memberikan petanda positif kepada kebangkitan skuad negara yang sebelum ini terpalit dengan isu 'Harimau Palsu' apabila mereka menambah 15.05 mata berharga untuk mata keseluruhan 1102.09 mata.
Berdasarkan kemajuan yang ditunjukkan ini, pengendali interim, Tan Cheng Hoe optimis skuad Harimau Malaya memiliki keupayaan untuk kembali menembusi kelompok 120 terbaik dunia berdasarkan prestasi semasa serta potensi besar yang dimiliki pasukan negara.








