ALOR SETAR: Dua beranak yang juga pengarah dan pengarah urusan sebuah syarikat pembekal baja sebatian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memalsukan dokumen bagi permohonan tender Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), awal tahun ini.

Muhammad Fadzil Md Fadzilah, 30, dan bapanya, Md Fadzilah Ariffin, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan berasingan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Fadzil selaku Pengarah Taaveekun Manufacturing didakwa memberi pernyataan dokumen palsu tentang butiran matan data kewangan untuk mengelirukan Pengerusi Jawatankuasa Pembuka Tender MADA.