JAKARTA: Kerajaan Indonesia didakwa melakukan 'kecuaian serius' dalam kes mahkamah yang bermula semalam berhubung jerebu toksik akibat kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian pulau Borneo.

Empat plaintif, termasuk cawangan tempatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat adat AMAN, memfailkan saman tindakan kelas itu bulan lalu di sebuah mahkamah di Pontianak, Kalimantan Barat.

Wilayah itu terjejas teruk akibat kebakaran dan jerebu hingga menyebabkan sekolah ditutup, manakala ratusan penduduk mendapatkan rawatan kerana masalah pernafasan.

Presiden Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat adalah antara 10 defendan dalam kes berkenaan.

Peguam plaintif, Glorio Sanen, berkata selepas pendengaran pertama bahawa kes itu adalah langkah untuk menangani masalah kebakaran hutan yang berlaku setiap tahun.