KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis namun susut tidak lama kemudian, menjejaki prestasi lemah Wall Street semalaman berikutan sentimen terjejas oleh peningkatan mendadak hasil Perbendaharaan AS.
Pada 9.34 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.55 mata atau 0.65 peratus kepada 1,601.23 daripada paras 1,611.78 ketika ditutup pada Rabu. Indeks itu dibuka 1.67 mata lebih tinggi pada 1,613.45.
Sentimen pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 466 berbanding 197, manakala 337 kaunter tidak berubah, 1,828 kaunter tidak diniagakan dan 13 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 565.70 juta unit bernilai RM370.21 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun mencecah paras tertinggi dalam tempoh 24 tahun pada 5.365 peratus sebelum susut kepada 5.286 peratus.








