KUALA LUMPUR: Lebih dua tahun selepas diluluskan, had laju maksimum 30 kilometer sejam (km/j) di kawasan sekolah belum dapat dikuatkuasakan, berikutan pindaan undang-undang berkaitan yang masih diteliti.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata Kementerian Pengangkutan sedang meneliti pindaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan membabitkan kementerian serta agensi penguatkuasaan berkaitan.

"Kerajaan sudah bersetuju menetapkan had kelajuan maksimum 30 km/j di kawasan zon sekolah bagi meningkatkan keselamatan murid dan pengguna jalan raya.

"Kementerian Pengangkutan sedang meneliti pindaan berkaitan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan pembabitan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta agensi berkaitan," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.