KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis ketika pasaran menunggu pembentangan Belanjawan 2027 bagi mendapatkan petunjuk mengenai hala tuju defisit fiskal negara.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat sedikit kepada 4.0845/0895 berbanding dolar AS daripada paras 4.0850/0895 ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit mengukuh walaupun dolar AS lebih kukuh selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dikeluarkan, yang menyebabkan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.40 peratus kepada 102.242 mata.
"Ringgit kekal bergerak dalam julat tertentu ketika pasaran menantikan pembentangan Belanjawan 2027 bagi mendapatkan petunjuk mengenai defisit fiskal, khususnya berikutan kejutan harga tenaga yang dijangka memberi kesan kepada sasaran 3.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2026," katanya kepada Bernama.










