KUALA LUMPUR: Pada usia baru 13 tahun, Medina Zahra Kamaruzaman sudah berani mencabar pentas karting kompetitif di Asia dan United Kingdom, menjadikan 2026 sebagai musim penting dalam pembentukan kariernya.
Pelumba remaja Malaysia itu kini bersaing dalam kategori Junior 125cc menerusi platform Rotax MAX Junior dan IAME X30 Junior, selepas menjadikan 2025 sebagai tahun latihan dan persediaan.
Musim kompetitif pertamanya bermula Januari lalu dan Medina mula menunjukkan perkembangan positif menerusi beberapa keputusan membanggakan di Malaysia serta pentas Asia.
Antara pencapaian terbaiknya hadir dalam Siri Karting Kebangsaan KRD apabila Medina mencatat tempat keempat pada Pusingan 3 di Litar Karting Antarabangsa Sepang sebelum bangkit menjuarai Pusingan 4 di litar sama.










