PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kenderaan ultiliti sukan jenis Honda CRV yang ingkar arahan pihak berkuasa kerana mengekori konvoi polis berakhir apabila dia ditahan semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.32 pagi, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sewaktu mengekori konvoi yang membawa Timbalan Perdana Menteri dari Kajang menghala ke Sunway Medical Centre di Subang Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, ketika kejadian seorang anggota polis yang bertugas sebagai pengiring telah memberi amaran kepada pemandu supaya tidak mengekori konvoi.

Bagaimanapun katanya, pemandu berkenaan dipercayai masih enggan mematuhi arahan dan terus mengekori konvoi dengan cara yang boleh membahayakan keselamatan konvoi serta pengguna jalan raya lain.