Lain ikan, lain cara untuk mendaratkannya. Salah satu cara mendapatkan ikan adalah dengan suapan awal atau ‘rasuah’ terlebih dahulu, sebelum melabuhkan umpan sebenar.

Misalnya, bagi memburu ikan loban di perairan Pulau Aman, Pulau Pinang, anda perlu memberi rasuah secara halal, sebelum menjeratnya dengan menggunakan teknik pancingan pelampung.

Rasuah secara halal bermaksud menabur umpan roti putih terlebih dahulu di lubuk berpotensi bagi menyeru kawanan loban hadir, sebelum umpan dan mata kail dihulur untuk menjeratnya.

Tipu helah seperti ini perlu dipraktikkan sekiranya sukar menemui kawanan atau gerombolan loban yang biasanya aktif berlegar mencari makanan di permukaan air terutamanya di kawasan laut cetek.