PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Myanmar Min Aung Hlaing di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.
Perdana Menteri menyambut ketibaan Min Aung Hlaing di bangunan berkenaan pada 9 pagi, disusuli upacara sambutan rasmi.
Min Aung Hlaing dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia sejak semalam (Rabu), dengan isu penghantaran pulang warga Myanmar di Malaysia antara perkara utama yang dijangka dibincangkan bersama Perdana Menteri Malaysia.
Selepas pertemuan empat mata itu, kedua-dua pemimpin mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala.
Antara menteri Kabinet yang hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang bertindak sebagai menteri pengiring.









