GUA MUSANG: Suri rumah, Mahainiza Mohd Zizi, 53, yang menghidap barah payudara tahap empat, tabah dan reda dengan ketentuan Ilahi malah menganggap penyakit itu sebagai ujian buatnya.
Beliau yang masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, perasaannya bercampur baur ketika disahkan menghidap barah itu, lima tahun lalu.
"Saya terkejut apabila dimaklumkan menghidap barah payudara tahap empat dan ketika itu, wajah anak bongsu yang berusia lapan tahun terus terbayang.
"Saya menangis di dalam kereta dan terus pulang ke rumah ibu di Felda Chiku 3. Ibu memujuk dengan mengatakan saya perlu terus bersyukur kerana Allah SWT masih sayang dan beri peluang kepada saya.
"Hanya satu hari itu sahaja saya menangis. Selepas itu, saya terus reda selain sentiasa bersabar," katanya yang turut membantu suami, Abdul Halim Deraman, 52, berniaga di pasar malam.









