Beijing: Doktor di China dilaporkan berjaya mengecutkan tumor berpotensi membawa maut di dalam dada seorang bayi ketika masih dalam kandungan tanpa melakukan sebarang hirisan, menerusi prosedur invasif minimum yang berpotensi menjadi pilihan rawatan baharu bagi kes tertentu, lapor Independent.
Difahamkan, bayi itu mengalami kecacatan paru-paru genetik dikenali sebagai kecacatan saluran udara atau Congenital Pulmonary Airway Malformation (CPAM) yang berlaku dalam kira-kira satu daripada 25,000 hingga 35,000 kehamilan.
Dalam sebilangan kecil kes, tumor berkenaan boleh membesar dengan sangat cepat sehingga menyebabkan tekanan teruk pada jantung dan paru-paru serta berpotensi mengakibatkan kematian janin.









