KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan meneliti kesesuaian mekanisme bayaran residual atau royalti tayangan semula kepada pelakon menerusi perkongsian hasil bagi karya audiovisual.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penelitian itu akan mengambil kira tiga aspek utama iaitu perundangan, industri dan pasaran bagi memastikan mekanisme yang bakal dirangka bersesuaian dengan ekosistem industri kreatif negara.
Katanya, dari aspek perundangan, penelitian akan menentukan sama ada mekanisme berkenaan wajar dilaksanakan melalui pindaan undang-undang, garis panduan industri atau kontrak standard.
“Dari aspek industri pula, penelitian akan melihat struktur ekosistem industri kreatif serta model perniagaan semasa, manakala aspek pasaran akan mengambil kira amalan platform penstriman dan pengedar antarabangsa,” katanya dalam bertulis disiarkan dalam laman sesawang Parlimen.









