WASHINGTON: Serangan Ukraine terhadap kemudahan tenaga Russia menjadi alasan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyalahkan Kyiv susulan kenaikan harga petrol di negara itu.

Trump mendakwa penutupan kilang penapisan minyak di beberapa negeri yang ditadbir Parti Demokrat, termasuk California, turut mendorong kenaikan harga bahan api.

“Apa yang menyebabkan harga petrol naik bukan lagi Selat Hormuz kerana jumlah rekod tong minyak kini dikeluarkan hampir setiap hari,” tulis Trump dalam hantaran di platform Truth Social.

Menurutnya, kenaikan harga petrol sebahagiannya berpunca daripada kemudahan minyak Russia yang ‘diletupkan Ukraine’, selain penutupan kilang penapisan di beberapa negeri AS.