KUALA LUMPUR – Risaukan penerimaan penonton terhadap filem sulung arahannya, Pemuja Syaitan, pelakon juga pengarah, Liyana Jasmay mengalami masalah gangguan tidur sehingga memberi kesan terhadap penampilannya.

Menurut Liyana, kebimbangan tersebut timbul disebabkan terlalu memikirkan sama ada emosi yang cuba disampaikan menerusi filem  berkenaan dapat dirasai penonton atau tidak.

“Saya tidak boleh tidur dan berat badan juga naik empat kilogram (kg). Memang kena diet.

“Risau tentang penerimaan penonton, ditambah pula saya seorang pengarah yang sangat pentingkan rasa,” katanya kepada HibGlam.

Ditemui pada majlis tayangan khas malam tadi, bintang Papadom itu memberitahu penekanan untuk memastikan ‘rasa’ tersebut sampai kepada penonton merupakan antara perkara penting yang dipelajarinya dalam penghasilan sesebuah karya.