KUALA LUMPUR: Terlalu memikirkan penerimaan penonton terhadap filem seram pertama arahannya, Pemuja Syaitan, membuatkan pengarah dan penerbit, Liyana Jasmay, sukar tidur sehingga berat badannya meningkat empat kilogram (kg).
Liyana, 38, berkata, kebimbangan mengenai sejauh mana mesej dan emosi yang cuba disampaikan menerusi karya itu dapat dirasai penonton antara perkara yang menyebabkan tabiat pemakanannya sukar dikawal.
"Begitulah hebatnya tahap kebimbangan saya hingga berat badan turut naik empat kilogram.
"Saya sangat mementingkan 'rasa'. Jadi, saya bimbang jika penonton tidak dapat merasai apa yang cuba saya sampaikan menerusi filem itu.
"Bagi saya, apabila seseorang dapat merasai apa yang kita hasilkan, itu bermakna kita berjaya," katanya pada majlis pratonton filem Pemuja Syaitan di KLCC, di sini, malam tadi.









