Ellron Alfred Angin menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua Gagasan Rakyat Pensiangan Abdul Ghani Yassin semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Ellron Alfred Angin menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama beberapa bekas pemimpin dan ahli akar umbi parti itu dari Sook, Nabawan serta Tulid.

Bekas menteri belia dan sukan Sabah itu menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua Gagasan Rakyat Pensiangan, Abdul Ghani Yassin, selepas mesyuarat jawatankuasa bahagian itu semalam.

Susulan itu, Ellron dilantik ahli jawatankuasa bahagian Pensiangan.

Ghani dipetik Daily Express sebagai berkata, penyertaan Ellron bersama bekas pemimpin akar umbi STAR akan memperkukuh kedudukan Gagasan Rakyat di Pensiangan menjelang PRU16.