am@hmetro.com.my

Sik: Lebih 2,000 penduduk dari sembilan kampung di Mukim Jeneri di sini bergadai nyawa setiap hari menggunakan jambatan gantung berusia 25 tahun yang kini semakin uzur dan membahayakan keselamatan.

Jambatan gantung sepanjang 110 meter di Kampung Berona itu kekal menjadi satu-satunya laluan utama yang menghubungkan penduduk setempat bagi urusan harian, termasuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kalai serta ke masjid.

Keadaan semakin membimbangkan apabila struktur jambatan merentasi Sungai Muda itu rosak teruk termasuk tiang utama, kabel, rasuk kayu penahan lantai dan pagar keselamatan.

Pengerusi Persatuan Komuniti Kampung Berona, Mohd Tarmizi Puteh berkata kerosakan rasuk kayu di bahagian bawah jambatan semakin kritikal apabila sebahagiannya reput dan jatuh ke sungai.