KUALA LUMPUR: Penyanyi, Amir Masdi, menafikan dakwaan wujud masalah atau perselisihan faham antara dirinya dengan kumpulan S.O.G susulan isu tidak menaiki pentas ketika kumpulan itu diumumkan sebagai pemenang pada Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini.
Menurut Amir, dia tidak berada di atas pentas ketika S.O.G menerima pengiktirafan berkenaan kerana sedang membuat persiapan di belakang pentas bagi persembahan bersama Akim Ahmad dan Azlan The Typewriter yang dijadualkan selepas kategori berkenaan.
“Tak ada langsung isu bermasam muka dengan S.O.G. Ada dua insiden yang orang salah faham. Satu, saya tak naik pentas. Satu lagi, S.O.G terlupa nak sebut. Itu tidak mengapa.
“Pertama, saya tak naik sebab saya berada di belakang pentas pada masa itu. Ada video yang saya muat naik di Instagram, ketika mereka sedang naik ke pentas untuk pengumuman kemenangan itu, saya berada di belakang sambil memakai alat pemantau dalam telinga dan saya meraikan kemenangan itu.









