PANORAMA indah Cameron Highlands yang dihiasi bukit-bukau, gunung dan ladang teh menghijau bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah turut memikat komuniti pelari denai.
Sejak 2016, destinasi itu ‘dibanjiri’ pelari denai dari dalam dan luar negara untuk menyahut cabaran Cameron Ultra Trail (Cultra).
Jumlah penyertaan turut meningkat saban tahun, dengan edisi ke-10 menghimpunkan seramai 3,600 peserta dari 33 negara.
Cultra membuka ruang kepada peserta untuk menguji ketahanan fizikal dan mental sambil meneroka laluan hutan, bukit serta denai yang memperlihatkan sisi Cameron Highlands yang jarang dilihat pelancong biasa.
Berbeza dengan pelancong yang hadir untuk menikmati cuaca sejuk dan keindahan landskap tanah tinggi, pelari Cultra perlu menempuh pelbagai cabaran yang menguji kemampuan diri, termasuk laluan teknikal, perubahan elevasi, cuaca tidak menentu dan keadaan denai yang boleh berubah dalam sekelip mata.









