Penjawat awam berusia lingkungan 40an itu ditahan kira-kira 4 petang semalam ketika hadir beri keterangan di pejabat SPRM Keningau.

PETALING JAYA: Seorang penjawat awam ditahan reman kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi 15 projek kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.

Perintah reman selama tujuh hari hingga 12 Okt itu dikeluarkan oleh Majistret Flavian Edward Henry selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Keningau pagi tadi.

“Lelaki itu ditahan kira-kira 4 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Cawangan Keningau,” kata SPRM, lapor Bernama.

Menurut agensi antirasuah itu, lelaki berusia lingkungan 40an itu dipercayai menyalahgunakan kedudukannya untuk mengesahkan Sijil Pengesahan Siap bagi kesemua projek kerajaan yang dilaksanakan sebuah syarikat dipercayai milik ahli keluarganya, antara 2021 hingga 2024.